Kakitangan PWS

Open Panel

Search Our Site

SHAH ALAM, SELANGOR - 6 September 2017, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengambil langkah pro-aktif dengan melaksanakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Ini merupakan komitmen yang diberikan oleh PWS ke arah mewujudkan sebuah organisasi kawalselia yang berwibawa dan berintergriti.

 


Pelaksanaan ikrar yang dianjurkan secara bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor itu memperlihatkan komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab serta amanah terutamanya kepada umat Islam khususnya di Selangor.

Sebagai satu Badan yang menjalankan amanah umat Islam, PWS serta anak syarikatnya Urus Maju Ehsan (M) Sdn. Bhd. (UME) akan memastikan pembangunan harta wakaf terlaksana sempurna dengan tidak melibatkan unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Semenjak penubuhan PWS pada 11 Januari 2011, PWS telah berjaya mengumpul dana wakaf tunai yang berjumlah lebih RM 204 juta melalui kutipan Saham Wakaf Selangor. Sehingga kini, sebahagian dana tersebut telah disalurkan untuk pembinaan 8 buah masjid, 21 buah surau, 4 buah institusi pendidikan di sekitar Selangor. Dana wakaf juga turut membiayai pembelian wakaf Al-Quran serta buku-buku rujukan Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford.

Majlis upacara lafaz dan menandatangani ikrar ini telah melibatkan Pengurusan Tertinggi PWS, Warga Kerja PWS serta anak syarikat PWS iaitu UME yang diketuai oleh Y.Bhg. Dato’ Mohammad bin Yacob, Ketua Pegawai Eksekutif PWS. Majlis ini turut disaksikan oleh Pengerusi PWS Y.A.D. Dato’ Setia Ramli bin Mahmud dan Y.Bhg. Dato’ Wan Ramli bin Wan Abdullah, Pengarah SPRM Negeri Selangor.

Pada majlis yang sama, Jabatan Audit Negara (JAN) cawangan Negeri Selangor sekali lagi telah memberikan Sijil Audit Bersih kepada PWS bagi Penyata Kewangan PWS 2016. Sijil Audit Bersih ini telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Audit Selangor Y.Bhg. Puan Rokiah Binti Sahat kepada Y.Bhg. Dato’ Mohammad Bin Yacob, Ketua Pegawai Eksekutif PWS.

Dengan harapan kesan daripada majlis ikrar serta penyampaian sijil bersih ini, PWS dan anak syarikat UME akan terus bergerak maju kehadapan untuk menjadi sebuah institusi pembangunan wakaf yang berintergriti dan amanah dalam membangunkan harta wakaf di Selangor. Mudah-mudahan amal jariah ini dapat dikembangkan hingga ke akhirat.