PWS Salur RM40,000 Baik Pulih Kemudahan Masjid Diraja Sultan Suleiman

PWS Salur RM40,000 Baik Pulih Kemudahan Masjid Diraja Sultan Suleiman

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM40,000 bagi kerja-kerja baik pulih tandas dan tempat wuduk di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang bagi meningkatkan keselesaan jemaah.


Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PWS dalam memperkukuh institusi masjid sebagai pusat ibadah yang kondusif serta menyokong keperluan fasiliti asas yang kritikal kepada jemaah.


Sumbangan telah disampaikan sempena program Kuliah Subuh yang diadakan di masjid berkenaan. Peruntukan tersebut digunakan khusus bagi menaik taraf tandas serta kemudahan wuduk agar berada dalam keadaan lebih bersih, selamat dan selesa.

Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Suffian Assauri bin Omar, Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS.


Pelaksanaan projek ini dijangka meningkatkan tahap keselesaan jemaah, selain menyumbang kepada pengalaman ibadah yang lebih sempurna. Ia juga memperkukuh peranan masjid sebagai institusi yang mesra komuniti.

No Comments

Post A Comment