PWS SERAH SUMBANGAN WAKAF FISABILILLAH DAN SAMPAIKAN TAKLIMAT WAKAF DI SRA KG. PEREPAT, KAPAR

PWS SERAH SUMBANGAN WAKAF FISABILILLAH DAN SAMPAIKAN TAKLIMAT WAKAF DI SRA KG. PEREPAT, KAPAR

13 Mei 2026, Klang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Islam menerusi penyerahan Sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Kg. Perepat, Kapar bagi tujuan pembinaan dataran berbumbung untuk kemudahan warga sekolah.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS yang turut mengadakan sesi taklimat wakaf kepada para guru dan warga sekolah berkaitan peranan wakaf dalam memperkasakan institusi pendidikan serta pembangunan ummah secara mampan.

Melalui sesi penerangan tersebut, para guru turut diberikan pendedahan mengenai inisiatif dan pelaksanaan projek wakaf yang digerakkan oleh PWS dalam memastikan manfaat wakaf terus dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh.

Dalam masa yang sama, peluang berwakaf turut dibuka kepada para guru bagi membudayakan amalan wakaf sebagai ibadah berterusan yang memberi manfaat berkekalan kepada umat Islam.

PWS komited untuk terus memperluaskan agenda dakwah dan pembangunan wakaf melalui kerjasama strategik bersama institusi pendidikan demi melahirkan masyarakat yang cakna serta istiqamah dalam amalan berwakaf.

No Comments

Post A Comment