Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri dan merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gambut, Tanjung Karang sebagai manifestasi komitmen dalam menyokong pembangunan sahsiah, potensi serta kesejahteraan generasi muda menerusi aktiviti sukan dan kokurikulum.
Kejohanan Sukan Tahunan SK Seri Gambut 2026 telah berlangsung pada 27 Jun 2026 di Sekolah Kebangsaan Seri Gambut, Tanjung Karang, Kuala Selangor. Program ini menghimpunkan warga sekolah, para guru, ibu bapa serta murid dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kebersamaan.
Perbadanan Wakaf Selangor telah menerima jemputan sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis perasmian kejohanan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara institusi wakaf dan sektor pendidikan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor, yang hadir mewakili PWS.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai acara sukan dipertandingkan bagi memberi peluang kepada murid menyerlahkan bakat serta potensi dalam bidang sukan. Selain memupuk semangat daya saing yang sihat, kejohanan ini turut menanam nilai-nilai kerjasama, disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Kehadiran PWS mencerminkan sokongan berterusan terhadap inisiatif pendidikan yang menyumbang kepada pembentukan modal insan berkualiti dan berakhlak mulia.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pembangunan bakat dan kecergasan fizikal murid, malah berperanan dalam membentuk sahsiah yang cemerlang serta memperkukuh budaya kesukanan di peringkat sekolah.
Selaras dengan aspirasi PWS, kerjasama bersama institusi pendidikan akan terus diperkasakan bagi menyokong program-program yang memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat serta melahirkan generasi yang seimbang dari aspek intelek, sahsiah dan kepimpinan.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga SK Seri Gambut atas kejayaan menganjurkan Kejohanan Sukan Tahunan 2026 dengan penuh komitmen dan semangat kebersamaan.
No Comments