Shah Alam, 17 Julai 2026 – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan Sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM12,000.00 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 18, Shah Alam bagi menyokong penyediaan kelengkapan Pusat Sumber sekolah. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif di samping memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga sekolah.
Sumbangan Wakaf Fisabilillah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PWS dalam memperluaskan manfaat wakaf kepada sektor pendidikan. Melalui penyediaan kemudahan pendidikan yang berkualiti, PWS berhasrat memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati secara berterusan oleh guru, murid dan komuniti sekolah.
Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di SK Seksyen 18, Shah Alam dengan penyampaian bantuan berjumlah RM12,000.00 bagi tujuan melengkapkan kemudahan Pusat Sumber sekolah.
Turut diadakan ialah sesi taklimat khas wakaf kepada warga pendidik yang disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor. Taklimat tersebut memberi penerangan mengenai konsep wakaf kontemporari, kepentingannya sebagai instrumen pembangunan ummah serta peranan institusi pendidikan dalam menyemarakkan budaya berwakaf.
Selain itu, para guru turut diberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif wakaf yang disediakan oleh PWS sebagai usaha menggalakkan penyertaan masyarakat dalam amalan wakaf jariah yang memberikan manfaat berpanjangan.
Penyaluran Sumbangan Wakaf Fisabilillah ini dijangka dapat meningkatkan kualiti kemudahan pembelajaran di Pusat Sumber SK Seksyen 18 sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Program ini juga memperkukuh kesedaran dalam kalangan warga pendidik mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan pendidikan serta menyemarakkan budaya berwakaf demi manfaat yang berkekalan kepada masyarakat.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan dan seluruh warga SK Seksyen 18, Shah Alam atas kerjasama yang diberikan dan berharap jalinan strategik ini akan terus diperkukuh bagi memperkasakan sektor pendidikan melalui instrumen wakaf.
No Comments