PWS Santuni Majlis Peluncuran Wazan Sedekad, Perkukuh Sinergi Wakaf Ilmu di Selangor

PWS Santuni Majlis Peluncuran Wazan Sedekad, Perkukuh Sinergi Wakaf Ilmu di Selangor

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menghadiri Majlis Peluncuran Wazan Sedekad 2016–2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh budaya sedekah, wakaf dan kebajikan. Kehadiran ini turut mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memperkasakan kerjasama strategik bersama Wazan menerusi pelaksanaan Wakaf Khas Dana Wakaf Ilmu di Selangor.

Majlis Peluncuran Wazan Sedekad 2016–2026 telah berlangsung pada 17 Julai 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Program ini diadakan bagi meraikan satu dekad perjalanan Wazan dalam menggerakkan agenda kebajikan, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Perbadanan Wakaf Selangor diwakili oleh YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, yang hadir bersama warga PWS serta rakan-rakan strategik bagi meraikan pencapaian Wazan sepanjang tempoh sedekad.

Wazan merupakan antara rakan sinergi utama PWS dalam pelaksanaan Wakaf Khas Dana Wakaf Ilmu di Selangor, iaitu satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan dan pembangunan ilmu melalui instrumen wakaf.

Kerjasama erat antara kedua-dua organisasi mencerminkan komitmen bersama dalam mengarusperdanakan wakaf sebagai pemangkin pembangunan ummah yang mampan, khususnya dalam menyokong sektor pendidikan dan pembangunan modal insan.

Sinergi strategik antara PWS dan Wazan dijangka terus memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat melalui pelaksanaan program pendidikan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi. Kerjasama ini turut memperkukuh usaha membudayakan amalan wakaf serta memperkasakan pembangunan ilmu sebagai asas kesejahteraan ummah.

PWS turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Wazan atas kejayaan mencapai satu dekad penubuhan serta berharap kerjasama yang terjalin akan terus diperkasakan demi manfaat masyarakat secara berterusan.

No Comments

Post A Comment