Pengerusi PWS Kongsi Aspirasi Integriti Bersama Warga PDRM Sempena Sambutan 12 Tahun JIPS

Pengerusi PWS Kongsi Aspirasi Integriti Bersama Warga PDRM Sempena Sambutan 12 Tahun JIPS

24 Julai 2026 | Kuala Lumpur – Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Mohamed Tahir, telah dijemput menyampaikan ceramah bertemakan integriti kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Majlis Sambutan 12 Tahun Penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Tahun 2026. Program ini menjadi platform perkongsian ilmu dalam memperkukuh penghayatan nilai integriti, amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam pelaksanaan tugas serta penyampaian perkhidmatan awam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur itu dianjurkan bersempena Sambutan 12 Tahun Penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh budaya integriti dan pematuhan standard dalam kalangan warga pasukan selaras dengan aspirasi melahirkan anggota yang berprinsip, beretika dan berintegriti tinggi.

Dalam sesi ceramah tersebut, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kepentingan integriti sebagai asas pembentukan jati diri dan budaya kerja yang cemerlang. Beliau menegaskan bahawa nilai amanah, akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan hendaklah diterapkan secara konsisten dalam setiap tindakan dan keputusan bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi sentiasa dipelihara.

Beliau turut menyatakan bahawa cabaran perkhidmatan awam yang semakin kompleks memerlukan setiap warga organisasi menghayati prinsip integriti sebagai panduan utama dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Perkongsian ini diharapkan dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh warga PDRM untuk terus memperkukuh budaya integriti dalam setiap aspek pelaksanaan tugas. Selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang baik, program ini turut memperkukuhkan kerjasama strategik antara PWS dan agensi kerajaan dalam usaha membudayakan nilai integriti demi kepentingan organisasi, masyarakat dan negara.

No Comments

Post A Comment