Kuliah Maghrib PWS Semarakkan Kesedaran Wakaf di Surau Ad-din, Kaunter Wakaf Tarik Penyertaan Jemaah

Kuliah Maghrib PWS Semarakkan Kesedaran Wakaf di Surau Ad-din, Kaunter Wakaf Tarik Penyertaan Jemaah

SHAH ALAM, 28 Julai 2026 – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneruskan usaha memperkukuh budaya berwakaf dalam kalangan masyarakat melalui penganjuran Kuliah Maghrib di Surau Ad-din, Seksyen 27, Shah Alam. Program ini turut disertai pembukaan Kaunter Wakaf bagi memudahkan jemaah mendapatkan maklumat serta melaksanakan wakaf tunai melalui saluran rasmi PWS.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem wakaf di Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) komited melaksanakan pelbagai program pendidikan dan dakwah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.

Penganjuran Kuliah Maghrib ini merupakan antara pendekatan berterusan PWS dalam mendekatkan masyarakat dengan penghayatan Islam serta menggalakkan penyertaan dalam amalan wakaf yang memberikan manfaat berpanjangan.

Kuliah Maghrib telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hafizuddin Mohamad Sharil, Penolong Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS. Dalam penyampaiannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuhkan amalan ibadah serta menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera.

Bersempena program tersebut, PWS turut membuka Kaunter Wakaf bagi memudahkan para jemaah mendapatkan penerangan mengenai pelbagai instrumen wakaf yang disediakan. Jemaah juga berpeluang melaksanakan wakaf tunai secara terus, termasuk penyertaan dalam skim Wakaf Bulanan, melalui saluran pembayaran rasmi PWS.

Program ini berjaya memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai amalan sedekah jariah yang memberi manfaat berterusan kepada pewakaf dan penerima manfaat. Pembukaan Kaunter Wakaf turut memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat serta menyertai inisiatif wakaf secara mudah, selamat dan diyakini.

PWS akan terus memperluaskan program dakwah, pendidikan dan promosi wakaf di masjid, surau serta komuniti bagi memastikan budaya berwakaf terus berkembang demi pembangunan ummah yang mampan.

No Comments

Post A Comment