Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyertai Persidangan Antarabangsa Masjid, Zakat & Wakaf (I-MAF) Kali Ke-12/2026 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi pada 15 September 2026.
Penyertaan ini membuka ruang kepada PWS untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan dalam pengurusan dana serta aset wakaf, di samping memperkukuh jaringan strategik dan pertukaran ilmu bersama institusi serta tokoh dalam bidang masjid, zakat dan wakaf.
Persidangan I-MAF 2026 anjuran Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS) menghimpunkan pelbagai institusi dan tokoh berkaitan pengurusan masjid, zakat serta wakaf.
Persidangan ini menjadi platform perbincangan mengenai perkembangan semasa, transformasi digital dan inovasi dalam memperkasa ekosistem institusi Islam, khususnya dalam aspek pengurusan yang lebih berdaya saing dan mampan.
PWS turut diberi peluang menyampaikan pembentangan yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, menerusi tajuk:
“Peranan Perbadanan Wakaf Selangor Dalam Pengurusan Dana dan Aset Wakaf”
Pembentangan tersebut mengetengahkan peranan PWS dalam mengurus, membangun dan memperkasa dana serta aset wakaf secara sistematik dan strategik.
Perkongsian turut memberi tumpuan kepada pendekatan pengurusan yang dilaksanakan bagi memastikan aset dan dana wakaf dapat dimanfaatkan secara berterusan serta memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan ummah.
Penyertaan PWS dalam I-MAF 2026 memperkukuh peranan PWS sebagai salah satu institusi yang berkongsi pengalaman dan amalan dalam pengurusan wakaf.
Selain menjadi medan perkongsian ilmu, penyertaan ini turut membuka peluang kepada pengukuhan jaringan strategik, pertukaran pandangan serta penerokaan pendekatan baharu dalam memperkukuh tadbir urus dan pengurusan wakaf yang lebih mampan serta berimpak.
No Comments