22 Oct PWS Hadiri Forum Perdana Ehwal Islam Bertemakan “Raja Berdaulat, Memayungi Umat”
Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam bertemakan “Raja Berdaulat, Memayungi Umat” anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri Shah Alam ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan institusi diraja dalam memelihara kesucian agama Islam dan kesejahteraan ummah.
Forum Perdana Ehwal Islam ini dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi tempoh 2001 hingga 2026.
Penganjuran forum ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap peranan institusi kesultanan sebagai tonggak kedaulatan agama Islam, pemeliharaan keharmonian serta penyatuan ummah, khususnya di Negeri Selangor.
Forum ini menampilkan dua orang ahli panel berwibawa, iaitu:
Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor.
Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti.
Perbincangan yang berlangsung mengetengahkan perkongsian ilmu dan pandangan berkaitan kepentingan institusi beraja, kepimpinan Islam serta tanggungjawab memelihara kesejahteraan umat.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran Buku Koleksi Terpilih Titah Ucapan Berkaitan Hal Ehwal Islam sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor. Penerbitan tersebut menjadi sumber rujukan penting dalam mendokumentasikan titah dan amanat baginda berkaitan perkembangan serta pemartabatan syiar Islam di Negeri Selangor.
Penyertaan PWS dalam forum ini mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam, kedaulatan institusi kesultanan serta perpaduan ummah.
Program seumpama ini turut memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam hubungan antara institusi diraja, kepimpinan agama dan kesejahteraan masyarakat dalam memastikan kesinambungan pembangunan serta pemartabatan Islam di Negeri Selangor.
PWS merakamkan penghargaan kepada MAIS dan JAKIM atas penganjuran program ilmiah yang penuh bermakna ini. Semoga perkongsian ilmu yang disampaikan terus menyemarakkan kecintaan terhadap agama Islam, memperkukuh perpaduan dan memartabatkan institusi Kesultanan Selangor.
“Raja Berdaulat, Memayungi Umat.”
No Comments