26 Oct PWS Semarakkan Budaya Berwakaf Menerusi Kuliah Subuh di Surau Al-Munawwarah, Klang
KLANG, 26 Oktober 2026 – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneruskan usaha memperkasa budaya berwakaf dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Kuliah Subuh Khas di Surau Al-Munawwarah, Bandar Putera 2, Klang.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf serta peranannya sebagai instrumen kebajikan Islam yang memberikan manfaat berpanjangan kepada ummah. Penganjuran kuliah turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan amalan berwakaf melalui pengisian ilmu dan kemudahan berwakaf secara langsung.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperluas kefahaman masyarakat mengenai wakaf, PWS mengambil pendekatan mendekati komuniti setempat melalui program pengimarahan masjid dan surau.
Pemilihan Surau Al-Munawwarah membawa makna tersendiri memandangkan surau tersebut merupakan antara hasil sumbangan wakaf khas orang ramai yang dikutip dan diuruskan di bawah kelolaan PWS. Kemudahan ini menjadi bukti nyata bagaimana sumbangan wakaf dapat diterjemahkan kepada pembangunan infrastruktur ibadah yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kuliah Subuh Khas disampaikan oleh Ustaz Muhammad Suffian Assauri Omar, Penolong Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS.
Dalam penyampaian tersebut, beliau berkongsi mengenai kepentingan wakaf, keistimewaannya serta ganjaran berterusan yang boleh diperoleh melalui amalan wakaf sebagai salah satu bentuk amal jariah.
Selain pengisian ilmu, kaunter wakaf PWS turut dibuka bagi memberikan kemudahan kepada para jemaah untuk menunaikan sumbangan wakaf secara langsung. Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan amalan berwakaf sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah.
Pada masa yang sama, kewujudan Surau Al-Munawwarah sebagai hasil manfaat wakaf khas memperlihatkan impak sebenar sumbangan masyarakat dalam menyediakan kemudahan ibadah yang boleh dimanfaatkan secara berterusan.
Inisiatif ini turut memperkukuh hubungan PWS dengan komuniti setempat serta membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan wakaf di Selangor.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Surau Al-Munawwarah dan seluruh jemaah atas kerjasama serta sambutan baik yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Jom Berwakaf!
Wakaf anda, manfaat berpanjangan untuk ummah.
No Comments