PWS Salur Sumbangan Wakaf Fisabilillah RM38,700 kepada Fakulti Pengajian Islam UKM

PWS Salur Sumbangan Wakaf Fisabilillah RM38,700 kepada Fakulti Pengajian Islam UKM

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM38,700.00 kepada Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tujuan pembelian lapan (8) unit komputer. Sumbangan ini merupakan usaha PWS dalam memperkukuh kemudahan teknologi serta menyokong pembangunan pendidikan tinggi, aktiviti akademik, pengajaran dan penyelidikan.

Penyaluran sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memastikan dana wakaf dimanfaatkan secara berkesan untuk pembangunan ilmu, pendidikan dan modal insan. Melalui inisiatif Wakaf Fisabilillah, PWS terus menyokong institusi pendidikan tinggi dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada warga akademik dan pelajar.

Penyerahan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM38,700.00 telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS, yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PWS.

Sumbangan tersebut diterima oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) UKM, serta disaksikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Penyerahan berlangsung bersempena Majlis Penyerahan Sumbangan & Wakaf Fisabilillah Fakulti Pengajian Islam 2026.

Sumbangan ini akan dimanfaatkan bagi pembelian lapan (8) unit komputer untuk meningkatkan kemudahan teknologi dan prasarana pembelajaran di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Kemudahan tersebut dijangka dapat menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, aktiviti akademik serta penyelidikan, sekali gus membantu memperkukuh ekosistem pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing.

PWS merakamkan penghargaan kepada pihak UKM atas kerjasama yang diberikan serta seluruh pewakaf yang terus menyokong usaha pembangunan wakaf di Negeri Selangor. Semoga sumbangan ini menjadi amal jariah yang berkekalan dan memberi manfaat kepada warga universiti serta generasi akan datang.

Wakaf anda, manfaat berpanjangan untuk ummah.

No Comments

Post A Comment