
04 Sep PWS HARGAI RAKAN MEDIA ANJUR BOLING MAHABBAH
4 September 2025, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meraikan rakan-rakan media dengan menganjurkan Boling Mahabbah PWS yang berlangsung di Alam Lane, Aeon Mall.
Anuar Hamzah Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS dalam kenyataan menzahirkan penghargaan terima kasih tidak terhingga yang telah memberi sokongan kepada PWS semenjak tahun 2011 sehingga kini, yang mana rakan media telah menyampaikan berita perihal wakaf kepada segenap lapisan masyarakat.
‘Tahun ini adalah tahun ke dua kita menganjurkan program bersama media, yang mana pada tahun lepas kita mengumpulkan media dalam satu majlis Hi-Tea dan Alhamdulillah, saya melihat kehadiran media sangat memberangsangkan dan kira lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi’
‘Dalam arus yang kian mencabar, terdapat juga beberapa perkara yang disebarkan tanpa adanya konsep tabayyun khususnya perihal wakaf dan media memainkan peranan penting sebagai pengantara antara maklumat dan masyarakat. Dalam dunia yang dipenuhi maklumat palsu dan separa benar, media bertanggungjawab menyampaikan berita secara adil, tepat, dan beretika.’ Ujar beliau ketika ditemui.
Tambah beliau lagi ‘dengan ada program seumpama ini, secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturahim dan media juga boleh membantu PWS untuk sama-sama menyebarluaskan peranan wakaf khususnya dalam negeri Selangor ini.’
Dalam program yang sama juga, beliau turut memaklumkan sehingga sukuan ke-2 tahun ini PWS telah mengagihkan sumbangan wakaf fisabilillah melebihi RM2 juta yang melibatkan permohonan daripada Masjid, Surau, institusi pendidikan, institusi kesihatan, rumah anak yatim dan lain lain institusi.
“Pengagihan sumbangan wakaf ini bagi membantu pembangunan, penaiktarafan dan pembelian aset kekal atau yang boleh memberi manfaat sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun.”
Sebenarnya permohonan yang telah dihantar kepada PWS menjangkau 150 permohonan, namun PWS tidak dapat mempertimbangkan sebahagianya kerana tidak memenuhi syarat yang dinyatakan.”
“PWS terus komited memastikan setiap wakaf orang ramai dan juga syarikat-syarikat yang telah melaksanakan ibadah wakaf di PWS untuk diagihkan dan juga dikembangkan, selari dengan fatwa wakaf tunai yang mana setiap wakaf tunai perlu dikembangkan jumlah asal wakaf tersebut.”
“InsyaALLAH menjelang hujung tahun ini, saya menjangkakan hampir 4 juta akan disalurkan kembali kepada ummah’’
PWS menyeru kepada seluruh masyarakat di Negeri Selangor khususnya terus melaksanakan Ibadah wakaf dan mendapatkan potongan cukai 10% untuk individu dan syarikat korporat.
“Menariknya untuk syarikat korporat yang melaksanakan Ibadah Wakaf, syarikat berkenaan boleh memohon agihan semula sebanyak 33% daripada jumlah yang diwakafkan dengan minima RM30,000.00 untuk syarikat berkenaan mengagihkan sendiri kepada institusi yang diinginkan dengan syarat agihan semula berkenaan adalah untuk pembelian aset yang jangka hayat melebihi 5 tahun.”
Ayuh laksanakan wakaf tunai anda di PWS.
Layari Wakaf Selangor Online
https://fpx.wakafselangor.gov.my/
atau
https://infaqpay.my/go/wakafselangor
untuk berwakaf tunai
#wakafselangor
#wakaftunai
#wakafmembangunkanummah
No Comments