30 Oct DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR BERKENAN MENYEMPURNAKAN PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN WAKAF SELANGOR
30 Oktober 2025, Shah Alam — Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Dalam majlis penuh adat istiadat itu, Baginda Tuanku berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada dua tokoh korporat dan pengurusan berwibawa, Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof, sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Perbadanan Wakaf Selangor. Pelantikan ini merupakan kelulusan Majlis dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berdasarkan Perintah Penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor 2011 (Pindaan 2012) dan Kesemua pelantikan ini dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003).
Pelantikan kedua-dua tokoh ini menandakan komitmen berterusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam memperkukuh tadbir urus dan kepimpinan strategik PWS, seiring dengan aspirasi untuk memperkasa institusi wakaf sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah di negeri ini.
Majlis yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan itu turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada seramai 17 penerima melibatkan pelbagai jawatan utama dalam pentadbiran agama Islam Negeri Selangor. Antara penerima watikah ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Anggota Panel Tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Ketua Pendaftar dan Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Ruju’ Negeri Selangor.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Kerabat Diraja, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin Majlis Agama Islam Selangor, YBhg. Dato’ Haji Ibrahim bin Haji Md. Yusof, Pengerusi PWS, YBrs Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, serta barisan kepimpinan utama institusi agama negeri.
Dengan pelantikan ini, Perbadanan Wakaf Selangor menzahirkan setinggi-tinggi junjungan kasih atas kepercayaan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. PWS akan terus memperkukuh peranan sebagai institusi wakaf korporat yang berdaya tahan, profesional dan lestari demi kesejahteraan ummah serta kemakmuran Negeri Selangor.
#PerbadananWakafSelangor #SatuWakafSejutaManfaat #WakafMembangunkanUmmah
No Comments