31 Oktober 2025, Gombak – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menerima hasrat murni seorang pewakaf yang menzahirkan keikhlasan untuk mewakafkan sebahagian tanah peninggalan Allahyarham bapa seluas 2.03 ekar. Tanah berkenaan diwakafkan khusus bagi manfaat anak-anak yatim di Asrama Damai Kuang, Rawang.
Penyerahan geran wakaf tersebut telah disambut mesra oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif. Langkah pewakaf ini bukan sekadar melunaskan amanah seorang ayah yang telah pergi, tetapi turut meneruskan legasi kasih sayang dan kebaikan yang tidak terputus menjadikan harta dunia sebagai bekalan pahala berpanjangan menuju akhirat.
Penubuhan Asrama Damai Kuang bermula sekitar pertengahan 1989 selepas satu kejadian di mana seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan sembilan orang anak. Komuniti Masjid Al-Islahiyah (Batu 17¾, Kuang) mengambil inisiatif untuk menempatkan dan menjaga anak-anak ini, Tuan Haji Suhaimi bin Dzajuli memainkan peranan penting sebagai imam dan pemangkin usaha ini.
Beberapa blok asrama lelaki/wanita, dewan, surau/tahfiz, taman permainan, bilik darjah/tahfiz dan kemudahan sokongan bergantung pada sumbangan berterusan untuk operasi bulanan.
Asrama ini berperanan sebagai pusat perlindungan, pendidikan dan pembentukan sahsiah Islam. Ia turut menyediakan ruang pembelajaran serta bimbingan rohani bagi memastikan anak-anak ini membesar dalam suasana kasih, disiplin dan ilmu yang seimbang.
PWS akan meneliti potensi pembangunan dan pelaksanaan terbaik bagi memastikan tanah yang diwakafkan dapat diurus secara optimum dan lestari. Hasil manfaat daripada tanah ini kelak diharap dapat memberi sokongan jangka panjang kepada operasi dan pembangunan anak-anak yatim di Asrama Damai Kuang, sekaligus memperkukuh ekosistem wakaf sosial di negeri Selangor.
PWS menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada pewakaf atas keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam menjayakan misi wakaf untuk kesejahteraan ummah. Semoga amal jariah ini menjadi sumber pahala yang terus mengalir buat Allahyarham dan inspirasi kepada masyarakat untuk menginfakkan sebahagian harta bagi manfaat ummah.
#PerbadananWakafSelangor #WakafSelangor #WakafTanah #AsramaDamaiKuang #PahalaBerkekalan #AnakYatim
No Comments