2 Mac 2026, Klang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima Sumbangan Wakaf Tunai Korporat berjumlah RM200,000 daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dalam Majlis Ihya’ Ramadhan 1447H yang berlangsung di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong.
Sumbangan tersebut telah disempurnakan akadnya di hadapan DYTM Raja Muda Selangor sebagai simbol komitmen berterusan entiti korporat berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam memperkasa agenda wakaf negeri secara strategik dan mampan.
TERAS yang merupakan anak syarikat kepada MAIS menyalurkan sumbangan tersebut melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya sebagai manifestasi kesungguhan sektor korporat Islam dalam melazimi instrumen Wakaf Tunai Korporat bersama PWS.
Majlis yang sama turut menyaksikan DYTM Raja Muda Selangor berkenan merasmikan Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, sekali gus memperkukuh fungsi institusi masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan komuniti dan pemerkasaan sosioekonomi ummah.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, merakamkan penghargaan strategik kepada pihak TERAS atas komitmen berterusan dalam menyokong agenda pembangunan wakaf di Negeri Selangor.
No Comments