MBD Klang Salur Wakaf Tunai Korporat RM50,000 Disaksikan DYTM Raja Muda Selangor

MBD Klang Salur Wakaf Tunai Korporat RM50,000 Disaksikan DYTM Raja Muda Selangor

2 Mac 2026, Klang – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menyalurkan Sumbangan Wakaf Tunai Korporat berjumlah RM50,000 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dalam Majlis Ihya’ Ramadhan 1447H yang berlangsung di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Datuk Bandar MBDK dan disempurnakan akadnya di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, sebagai simbol komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh agenda pembangunan wakaf negeri.

Inisiatif ini mencerminkan keselarasan agenda pembangunan bandar bersama pendekatan filantropi Islam melalui instrumen Wakaf Tunai Korporat, sekali gus memperlihatkan sokongan berterusan sektor kerajaan tempatan terhadap pembangunan ummah yang berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, merakamkan penghargaan kepada pihak MBDK atas iltizam berterusan dalam menyokong ekosistem wakaf di Negeri Selangor.

Beliau turut berharap langkah yang diambil oleh MBDK ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak agensi kerajaan dan entiti korporat untuk menyertai agenda Wakaf Tunai Korporat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi.

 

 

 

 

 

No Comments

Post A Comment