3 Mac 2026, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai langkah memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyelaras agenda pembangunan wakaf negeri secara lebih holistik dan berimpak tinggi.
Delegasi PWS diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi PWS, dan turut diiringi oleh YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS serta Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS.
Kehadiran delegasi tersebut telah disambut mesra oleh YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekosistem wakaf negeri termasuk peluasan model Wakaf Tunai Korporat, penerokaan aset strategik wakaf serta penjajaran inisiatif pembangunan wakaf selaras dengan aspirasi pembangunan Negeri Selangor yang progresif dan inklusif.
Kunjung hormat ini turut menjadi platform penting bagi memperkukuh sinergi antara institusi wakaf negeri dan pentadbiran kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan dan pembangunan wakaf dilaksanakan secara lebih strategik, mampan dan berimpak tinggi.
PWS komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkasa wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah yang mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.
No Comments