9 April 2026, Hulu Selangor – Perbadanan Wakaf Selangor terus komited dalam memperkasa pembangunan institusi pendidikan melalui penyaluran sumbangan wakaf secara strategik dan berimpak tinggi.
Dalam usaha tersebut, sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM48,000.00 telah disalurkan bagi tujuan menaik taraf surau Sekolah Kebangsaan Gedangsa, Kuala Kubu Bharu. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Khairi Ambri bin Roslan, Penolong Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS kepada pihak sekolah.
Sebagai nilai tambah kepada inisiatif ini, satu sesi taklimat wakaf turut diadakan dan disampaikan oleh Ustaz Muhamad Hafizuddin bin Mohamad Sharil, Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada warga sekolah, khususnya para guru, mengenai konsep wakaf serta menggalakkan penglibatan aktif dalam menyokong agenda pembangunan ummah.
Pendekatan bersepadu ini mencerminkan aspirasi PWS dalam mengarusperdanakan budaya wakaf sebagai pemangkin kelestarian pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
Semoga inisiatif ini terus memperkukuh peranan institusi pendidikan sebagai pusat pembangunan sahsiah dan ilmu, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf sebagai amal jariah berterusan.
No Comments