PELUNCURAN KUBAH PENGERING SOLAR PERTAMA WAKAF PERKASA EKONOMI NELAYAN SUNGAI YU

PELUNCURAN KUBAH PENGERING SOLAR PERTAMA WAKAF PERKASA EKONOMI NELAYAN SUNGAI YU

11 Jun 2025, Kuala Selangor – Wakaf Selangor Muamalat (WSM) mengambil inisiatif proaktif membangunkan kubah pengering solar pertama di negeri ini bagi meningkatkan pengeluaran ikan kering, sekali gus memperkasakan ekonomi komuniti nelayan di Sungai Yu, Kuala Selangor.

Menurut Anuar Hamzah Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) inisiatif ini adalah bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dalam satu kerjasama strategik melalui Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih 300 nelayan dengan menambah pendapatan dalam penghasilan pelbagai jenis ikan kering atau ikan masin.

“Kubah pengering itu adalah daripada dana wakaf orang ramai dan dikumpulkan melalui inisiatif Wakaf Selangor Muamalat (WSM), bertujuan membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan di sini, fasiliti ini dapat memproses ikan kering lebih cepat iaitu dalam masa tiga hingga empat jam bagi ikan bersaiz kecil, sebelum ini memerlukan masa empat hingga lima hari, kalau musim hujan, mungkin lebih lama.

“Kubah pengering ini juga bukan setakat yang boleh memproses ikan semata-mata, malah sayur-sayuran juga boleh dikeringkan sayuran seperti cili, dan harga cili kering lebih mahal, kebanyakan cili kering ini kita import dari luar, jadinya saya mengharapkan manfaatkan fasiliti ini sebaiknya”

“Inisiatif ini yang terhasil adalah menggunakan dana wakaf orang ramai yang terkumpul melalui Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM140,681.00. Jadinya saya berharap agar aset wakaf ini dapat dijaga dengan elok serta manfaatkanlah sebaiknya.”

“Saya juga merakamkan terima kasih kepada pewakaf-pewakaf semua yang bersama dalam merealisasikan projek ini. Ukiran senyuman penerima manfaat iaitu para nelayan, menjadi satu kepuasan buat kami jariah pewakaf dipanjangkan melalui manfaat kepada Persatuan Nelayan Sungai Yu.” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kubah pengering solar di Persatuan Nelayan Sg. Yu.”

“Sementara itu, Kamarudin bin Yusuf, Pengerusi, Persatuan Nelayan Kawasan Sg. Yu menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Wakaf Selangor Mualamat (WSM) atas inisiatif ini dan saya akan memastikan projek ini akan digunakan semaksimum yang mungkin bagi tujuan ini.”

Turut hadir bersama adalah YBrs Dr. Mohd Izuan bin Mahyudin, Ahli Jawatankuasa Pengurusan bersama WSM dan Tuan Haji Zaharudin Alias, Ketua Jabatan Kewangan Sosial, Bank Mualamat Malaysia Berhad

#wakafselangor #bankmuamalatmalaysiaberhad

#wakafselangormuamalat #satuwakafsejutamanfaat

No Comments

Post A Comment