PECUTAN TERAKHIR RAMADAN: PWS SERU PERKUKUH AMAL, SEDEKAH DAN WAKAF

PECUTAN TERAKHIR RAMADAN: PWS SERU PERKUKUH AMAL, SEDEKAH DAN WAKAF

16 Mac 2026, Telok Panglima Garang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus mempergiat usaha advokasi wakaf melalui penganjuran program “Pecutan Terakhir di Penghujung Ramadan” yang berlangsung di Balai Bomba Telok Panglima Garang.

Program berbentuk pengisian rohani ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Suffian Assauri bin Omar, Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS yang menekankan kepentingan mempergiatkan amalan ibadah khususnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Dalam tazkirah tersebut, para jemaah diseru untuk merebut peluang mencari malam Lailatul Qadar, memperbanyakkan amalan kebajikan seperti sedekah dan wakaf serta meningkatkan kesungguhan dalam beribadah sebagai persiapan menghadapi kehidupan akhirat.

Pengisian ini turut mengingatkan bahawa Ramadan merupakan peluang berharga yang belum tentu ditemui lagi, justeru setiap detik di penghujung bulan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan amal soleh yang berterusan.

Program ini mencerminkan komitmen PWS dalam mendekati komuniti melalui pendekatan pengisian ilmu dan rohani, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf sebagai amalan sedekah jariah yang memberi manfaat berpanjangan.

Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada peningkatan amalan kebajikan serta membudayakan wakaf sebagai sebahagian daripada kehidupan umat Islam.

“Biarpun Nafas Terhenti, Jariah Terus Mengalir.”

No Comments

Post A Comment