12 Mac 2026, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan agihan Tabung Wakaf Tunai berjumlah RM41,526 kepada Masjid An-Nur Temasya Glenmarie bagi tujuan menaik taraf serta kerja-kerja baik pulih fasiliti masjid demi meningkatkan keselesaan para jemaah.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS kepada pihak pengurusan masjid dalam satu majlis ringkas yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah.
Agihan ini merupakan hasil daripada Tabung Wakaf Tunai yang ditempatkan di masjid berkenaan, di mana 50% daripada kutipan tabung tersebut diagihkan semula kepada pihak masjid bagi tujuan pembangunan serta penyelenggaraan kemudahan masjid.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memastikan pengurusan wakaf dilaksanakan secara telus dan berimpak, di samping memastikan manfaat wakaf dapat dikembalikan kepada komuniti setempat melalui pembangunan institusi masjid.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pewakaf yang terus menyokong pembangunan wakaf di Negeri Selangor agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat.
No Comments