13 Mac 2026, Klang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus mempergiat usaha advokasi wakaf dengan mengadakan Tazkirah Jumaat di Masjid Kampung Telok Menegon bersempena Bulan Wakaf Selangor yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan Ramadan.
Tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Ibnu Hubain bin Abdul Aziz, Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS yang menekankan bahawa Ramadan merupakan madrasah tarbiah rohani yang mendidik umat Islam untuk memperbanyakkan amal soleh, termasuk melazimi ibadah wakaf sebagai sedekah jariah yang pahalanya terus mengalir tanpa henti.
Pengisian tazkirah turut mengajak para jemaah menghayati bahawa setiap wakaf yang dilakukan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menjadi pelaburan akhirat yang berterusan walaupun selepas hayat berakhir.
Melalui pendekatan turun padang ini, PWS komited untuk terus mendekati komuniti masjid bagi memperkukuh kefahaman masyarakat tentang kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang lestari.
Sesungguhnya, setiap wakaf yang disumbangkan hari ini mampu menjadi cahaya pahala yang terus mengalir untuk masa depan ummah.
No Comments