6 Februari 2026, Klang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM30,000 kepada Masjid Kampung Sementa, Klang bagi tujuan pemasangan sistem penyaman udara demi meningkatkan keselesaan para jemaah yang menunaikan ibadah di masjid tersebut.
Serahan cek cura wakaf telah disampaikan oleh Ustaz Ibnu Hubain bin Abdul Aziz, Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS dan disambut mesra oleh Ustaz Ahmad Shauqie bin Zainal Abidin, Pengurus Masjid Kampung Sementa.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PWS dalam memperkasa pembangunan serta penambahbaikan kemudahan institusi masjid melalui dana wakaf yang diamanahkan oleh para pewakaf.
Penambahbaikan kemudahan ini diharapkan dapat meningkatkan keselesaan para jemaah, khususnya ketika menunaikan solat berjemaah serta menghadiri pelbagai aktiviti pengimarahan masjid yang dianjurkan kepada komuniti setempat.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pewakaf yang terus menyokong usaha memartabatkan institusi agama melalui ibadah wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat secara berterusan.
Ayuh bersama melazimi ibadah wakaf kerana setiap sumbangan merupakan saham akhirat yang manfaatnya terus mengalir demi kesejahteraan ummah.
Ayuh laksanakan wakaf tunai anda di PWS, saluran rasmi, diyakini dan dipercayai.
No Comments