30 Dec STESEN MINYAK WAKAF PERTAMA DI ATAS TANAH WAKAF TELAH BEROPERASI
30 Disember 2025, Sepang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengukir sejarah tersendiri dengan melaksanakan satu projek pembangunan hartanah wakaf berimpak tinggi menerusi pembinaan sebuah stesen minyak lengkap dengan restoran makanan segera dua tingkat di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terletak di Lot PT 69581, HSM 28476, Mukim Dengkil, Daerah Sepang.
Stesen minyak ini dengan kerjasama rakan perniagaan PETRON Malaysia yang beroperasi di Sungai Merab ini dibangunkan menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated (DODO) bagi memastikan pengurusan operasi yang mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
“Menurut Anuar Hamzah Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif, projek ini mula beroperasi semalam pada 29 Disember 2025 dan InsyaALLAH menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.”
“Dengan keberhasilan projek ini, jelas dinyatakan bahawa PWS sangat menitikberatkan bagi pembangunan tanah-tanah wakaf di dalam Negeri Selangor, dan komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu dan progresif demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam di Negeri Selangor.”
“Alhamdulillah, ojek ini secara keseluruhan berjumlah RM9 Juta untuk bangunan, infrastruktur, perunding dan lain lain lagi. Kos ini digunakan sepenuhnya dana wakaf tunai orang ramai. Menariknya manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sg. Ramal Luar sebanyak 50% seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini.’’
“Saya juga hendak menyatakan, bahawa projek ini pertama di Selangor serta tidak keterlaluan juga pertama di Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf serta pengurusan dan perniagaan stesen minyak ini dikendalikan oleh WS Energy 1 Sdn. Bhd. (WSE1), anak syarikat milik penuh PWS yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek-projek pembangunan wakaf berimpak tinggi.’’
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat, Agensi Kerajaan serta swasta yang merealisasikan projek ini dan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang telah melazimi ibadah wakaf ini.
PWS menyeru kepada semua masyarakat khususnya di Negeri Selangor untuk bersama melazimi Ibadah Wakaf yang merupakan satu amalan yang dituntut dan menjamin ganjaran pahala yang berterusan.
No Comments