1 November 2025, Subang Jaya – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus komited menyalurkan manfaat wakaf kepada institusi keagamaan apabila menyerahkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM41,000 kepada Surau Al-Hayy, Putra Heights bagi tujuan naik taraf sistem pendawaian elektrik surau berkenaan.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS dan disambut mesra oleh pihak pengurusan surau dalam suasana penuh rasa syukur dan kesyukuran.
Majlis turut diserikan dengan Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh AF Ustaz Muhammad Suffian Assauri bin Omar, Penolong Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Korporat PWS, yang membicarakan topik penuh penghayatan tentang keberkatan wakaf dan pahala yang terus mengalir.
Kaunter wakaf turut dibuka bagi memberi peluang kepada para jemaah melaksanakan ibadah wakaf serta memahami peranan wakaf dalam membina kemaslahatan ummah dan memperkukuh ekonomi Islam di negeri Selangor.
PWS menzahirkan penghargaan kepada semua pewakaf atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda wakaf negeri dan menyeru masyarakat untuk terus bersama menyemarakkan budaya berwakaf demi manfaat ummah.
Ayuh laksanakan wakaf tunai anda melalui PWS, saluran rasmi, diyakini dan dipercayai.
No Comments