Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menganjurkan Kuliah Maghrib Khas Bersama PWS di Surau Baitul Mukmin, Taman Subang Murni, Shah Alam pada 2 Jun 2026 bagi memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah dan amalan sedekah jariah yang berterusan.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PWS dalam memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap peranan wakaf dalam pembangunan institusi agama, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti. Melalui pendekatan dakwah dan pendidikan, PWS berusaha menyuburkan budaya berwakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.
Kuliah Maghrib Khas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hafizuddin bin Mohamad Sharil dengan tema “Biarpun Nafas Terhenti, Jariah Terus Mengalir”. Pengisian yang disampaikan memberi penekanan kepada kepentingan wakaf sebagai amalan yang memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta ganjaran pahala yang berterusan kepada pewakaf.
Para jemaah turut diberikan penerangan mengenai konsep wakaf dan peranannya dalam menyokong pembangunan pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada umat Islam. Bagi memudahkan penyertaan masyarakat, kaunter wakaf turut dibuka sepanjang program berlangsung.
Program ini berjaya meningkatkan kefahaman jemaah mengenai konsep dan kelebihan wakaf, selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam amalan berwakaf. Inisiatif seperti ini turut menyokong usaha PWS untuk memperkukuh pembangunan aset wakaf dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat.
PWS merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan surau dan seluruh jemaah yang hadir dalam menjayakan program ini serta menyokong usaha memperkasakan budaya wakaf demi kesejahteraan ummah.
No Comments