16 Feb PWS LANCAR APLIKASI WAKAF SELANGOR DAN TERIMA WAKAF KORPORAT BERJUMLAH RM400,000.00
SHAH ALAM, 10 FEBRUARI 2026 – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) buat julung kalinya melancarkan satu aplikasi ‘Wakaf Selangor’ sebuah platform digital inovatif yang dibangunkan bagi memudahcara urusan wakaf serta memperluas penyertaan masyarakat secara lebih sistematik, telus dan mesra pengguna.
Dengan adanya aplikasi ini secara tidak langsung akan membudayakan masyarakat untuk sama-sama melazimi ibadah wakaf pada bila-bila masa. Menariknya dengan aplikasi ini juga pengguna boleh mengetahui Sejarah butiran wakaf terdahulu yang pernah dilaksanakan dan dalam masa yang sama juga pengguna boleh merasai pengalaman peribadi yang lebih sempurna dengan mengakses terus aktiviti-aktiviti Perbadanan Wakaf Selangor untuk mengetahui dengan lebih terperinci agihan-agihan wakaf yang telah disalurkan.
Dalam Majlis yang sama juga, PWS telah menerima simbolik penyerahan cek cura Wakaf Tunai oleh sebelas (11) syarikat korporat yang bernilai RM 400,000.00. Antara pewakaf korporat terdiri daripada Worlwide Holdings Bhd. (RM 150,000.00), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (RM 100,000.00) KDEB Waste Management (RM 50,000.00) Menteri Besar Selangor Incorporated dan Aiman Platinum Sdn Bhd. setiap agensi (RM 20,000.00), serta PKNS Real Estate, MZR Global Sdn. Bhd., Selangor Industrial Corporation dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad yang mana setiap agensi (RM 10,000.00). Manakala dua lagi agensi Meem Gold dan AFTACop Sdn. Bhd. masing-masing berwakaf sebanyak (RM5,000.00)
Komitmen daripada syarikat-syarikat sebagai simbol sokongan dan kerjasama strategik sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem wakaf di Negeri Selangor. Penglibatan ini mencerminkan keyakinan berterusan pihak industri terhadap pengurusan wakaf yang profesional, berintegriti dan berimpak tinggi.
Penganjuran Bulan Wakaf 2026 merupakan inisiatif strategik PWS selaku agensi peneraju pengurusan wakaf negeri, selaras dengan aspirasi pendigitalan, ketelusan tadbir urus serta penglibatan pelbagai pihak dalam memperluas peranan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan dan berimpak tinggi.
Majlis perasmian ini diserikan dengan kehadiran YB Tuan Dr. Muhammad Fahmi bin Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor yang sudi merasmikan majlis peluncuran sebagai melambangkan iltizam dan komitmen bersepadu Kerajaan Negeri Selangor bersama Perbadanan Wakaf Selangor dalam memacu agenda wakaf secara holistik dan berdaya maju.
Turut diserikan dengan penampilan khas dari kumpulan nasyid terkenal Hijjaz untuk membuat persembahan bagi meraikan majlis puluncuran tersebut.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta mengalu-alukan penglibatan berterusan masyarakat, institusi dan sektor korporat bagi menjayakan Bulan Wakaf 2026, demi pembangunan ummah yang lestari dan kemakmuran bersama.
No Comments