8 Mei 2026, Hulu Langat – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkasa agenda pembangunan wakaf produktif menerusi penyaluran Agihan Manfaat Wakaf berjumlah RM30,000 kepada Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang hasil pembangunan Stesen Minyak Wakaf Sungai Merab.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS dan diterima oleh Tuan Haji Kidzbullah bin Ridzuan, Nazir Masjid Sungai Ramal Luar serta disaksikan oleh wakil pihak PAID Hulu Langat, ketua kampung dan pengurusan masjid.
Dalam program tersebut, Tuan Haji Anuar turut menyampaikan tazkirah dan taklimat berkaitan peranan PWS dalam merealisasikan hasrat pewakaf melalui pengurusan, pembangunan dan pengagihan manfaat wakaf secara profesional, telus dan berimpak tinggi.
Untuk makluman, Stesen Minyak Wakaf Sungai Merab telah mula beroperasi secara rasmi pada 29 Disember 2025 dan kini berjaya menjana manfaat berterusan yang disalurkan semula kepada institusi masjid serta pembangunan ummah.
Inisiatif ini membuktikan bahawa pembangunan aset wakaf secara mampan dan strategik mampu menjadi pemangkin kepada penjanaan manfaat jangka panjang kepada masyarakat serta memperkukuh institusi masjid melalui hasil wakaf produktif.
PWS komited untuk terus memperluas pembangunan wakaf berimpak tinggi demi memastikan manfaat wakaf terus dirasai oleh masyarakat secara berterusan.
No Comments