Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneruskan usaha memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap institusi wakaf menerusi program Bicara Wakaf “Dari Poket ke Syurga” bersama warga Kampung Kubu Gajah. Program yang berlangsung di Masjid Jamiul Ehsan turut disusuli penyampaian Sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM31,070.00 bagi membantu kerja-kerja baik pulih papan agihan (DB) elektrik masjid.
Program Bicara Wakaf merupakan salah satu inisiatif PWS dalam mendekatkan institusi wakaf kepada masyarakat serta menyemarakkan budaya berwakaf dalam kehidupan seharian.
Bertemakan “Dari Poket ke Syurga”, sesi bicara memberi penekanan terhadap kelebihan wakaf sebagai amal jariah yang mampu memberikan manfaat secara berpanjangan. Masyarakat turut didorong untuk menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan dan persediaan menuju akhirat.
Sesi Bicara Wakaf menampilkan Ustaz Mohamed Hanafiah bin Abd. Malek sebagai ahli panel dan dikendalikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat, Perbadanan Wakaf Selangor selaku moderator.
Selain pengisian berkaitan wakaf, PWS turut menyampaikan Sumbangan Wakaf Fisabilillah sebanyak RM31,070.00 kepada Masjid Jamiul Ehsan. Sumbangan tersebut disalurkan bagi tujuan kerja-kerja baik pulih papan agihan (DB) elektrik masjid.
Penganjuran program ini memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas mengenai peranan dan manfaat wakaf dalam pembangunan ummah. Sumbangan yang disalurkan pula dapat membantu meningkatkan aspek kemudahan dan keselesaan jemaah, sekali gus menyokong kelancaran aktiviti ibadah serta pengimarahan Masjid Jamiul Ehsan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memastikan wakaf bukan sekadar amalan bersifat kebajikan, malah dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata yang dirasai oleh masyarakat.
No Comments