
20 Feb MAJLIS PELUNCURAN BULAN WAKAF PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2025,”SATU WAKAF, SEJUTA MANFAAT”
20 Februari 2025, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengadakan Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Selangor tahun 2025 yang telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Majlis Peluncuran Bulan Wakaf adalah bertujuan untuk menguar-uarkan peranan PWS sebagai satu Instiusi yang dipercayai serta diyakini dan satu-satunya Institusi yang diberi mandat berkaitan hal ehwal wakaf di Negeri Selangor.
“Satu Wakaf, Sejuta Manfaat” sebagai satu ‘Tagline’ diketengahkan kerana PWS komited dalam menyebarluaskan jariah untuk orang ramai mewakafkan harta sama ada dalam bentuk harta alih seperti wakaf tunai dan harta tak alih seperti tanah/premis bagi tujuan meningkatkan dan mengembangkan pelaburan wakaf dalam bidang ekonomi dan merealisasikan pembangunan sosial demi manfaat kesejahteraan ummah.”
“Bulan Wakaf Selangor yang dilancarkan ini bermula pada 1 Sya’ban dan sehingga 29 Ramadan dan pelbagai program yang telah disusun atur antaranya Kuliah Khas Maghrib bersama beberapa figura dakwah, siaran langsung podcast bersama pempengaruh, lawatan tapak ke projek-projek pembinaan melalui dana wakaf khas dan banyak lagi.”
Alhamdulillah, PWS juga telah menerima sumbangan Wakaf Tunai Korporat dari 10 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah sehingga RM 700,000.00 pada majlis tersebut bagi kegunaan dana wakaf negeri Selangor. PWS juga turut menyerahkan sijil penghargaan kepada 10 orang pewakaf-pewakaf hartanah yang telah mewakafkan harta di PWS yang disampaikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar sendiri.
Selain itu, YAB Dato’ Menteri Besar turut menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diadakan bertujuan memperkasa kutipan wakaf tunai dan memudahkan pencarum bank melazimi ibadah wakaf serta melawat pameran klinik bergerak dan klinik pergigian bergerak hasil usahasama PWS dan Bank Muamalat melalui Wakaf Selangor Muamalat.
Majlis tersebut turut menampilkan kumpulan nasyid terkenal In-Team bagi membuat persembahan khas dengan lagu tema Wakaf Selangor yang bertajuk “Wakaf Membangunkan Ummah”.
Turut hadir Yang Amat Dihomati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS, Yang Berhormat Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Yang Berhomat Datuk Dr. Haniff bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri, Yang Dimuliakan Dato’ Tengku Ardy Esfandiari Bin Tengku Abdul Hamid Shah, Tengku Seri Paduka Shah Bandar, Orang Besar Istana, merangkap Ahli Lembaga Pengarah PWS, Yang Berbahagia Dato’ Haji Ibrahim bin Haji Md. Yusof, Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, Yang Berbahagia Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR dan Yang Berusaha Dr Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia serta dif-dif kehormat dari agensi kerajaan dan swasta.
PWS mengucapkan terima kasih kepada semua pewakaf-pewakaf dan teruslah berwakaf agar jariah anda dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai orang.
Ayuh bersama melaksanakan Wakaf Tunai anda melalui Perbadanan Wakaf Selangor, saluran yang rasmi, telus dan diyakini.
Layari Wakaf Selangor Online
https://fpx.wakafselangor.gov.my
atau
https://infaqpay.my/go/wakafselangor
untuk berwakaf tunai.
#wakafselangor
#wakafmembangunkanummah
#wakaftunai
#mudahnyaberwakaf
#bulanwakafselangor
#satuwakafsejutamanfaat
No Comments