Kunjungan Hormat PWS Bersama EXCO Selangor Perkukuh Sinergi Aset Wakaf

Kunjungan Hormat PWS Bersama EXCO Selangor Perkukuh Sinergi Aset Wakaf

29 April 2026, Shah Alam- Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengadakan kunjungan hormat bersama YB Datuk Hj. Rizam Bin Hj. Ismail bagi memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas capaian dan keterlihatan aset wakaf kepada masyarakat.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PWS dalam memperkasa ekosistem wakaf negeri melalui pendekatan kolaboratif antara agensi. Sesi dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PWS, YBrs Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar dengan penekanan kepada penyelarasan strategi dan pengukuhan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.

Perbincangan memberi tumpuan kepada penglibatan aset wakaf PWS dalam program jelajah anjuran Gagasan Rumpun Selangor (GRS). Melalui kerjasama ini, aset seperti Bas Bergerak Wakaf dan Klinik Gigi Wakaf akan digerakkan dalam siri jelajah rasmi yang melibatkan keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor ke setiap daerah. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keterlihatan serta penyampaian perkhidmatan wakaf secara langsung kepada komuniti.

Inisiatif ini dijangka memperluas capaian perkhidmatan wakaf kepada masyarakat akar umbi, meningkatkan keyakinan terhadap pengurusan aset wakaf, mengoptimumkan penggunaan aset secara menyeluruh serta memperkukuh sinergi strategik antara agensi dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

Kolaborasi strategik ini diharap terus memperkukuh peranan wakaf sebagai pemangkin kesejahteraan ummah serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam amalan wakaf di Negeri Selangor.

 

 

 

 

 
 

 

 
 
 
 
 
No Comments

Post A Comment