PWS Adakan Kunjungan Hormat ke Lembaga Zakat Selangor

PWS Adakan Kunjungan Hormat ke Lembaga Zakat Selangor

6 Februari 2026, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai langkah strategik memperkukuh hubungan institusi serta memperluaskan sinergi kerjasama dalam memperkasakan agenda wakaf dan zakat di Negeri Selangor.

Delegasi PWS diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Hj Syed Mohamed Tahir, Pengerusi PWS bersama YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS. Kunjungan tersebut telah disambut oleh YAM Tan Sri Dato’ Seri Diraja Syed Zainol Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi LZS serta YBrs. Tuan Mohd Khaidzir Shahari, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

Pertemuan ini menjadi platform penting bagi pertukaran pandangan, perkongsian amalan terbaik serta perbincangan potensi kolaborasi strategik antara wakaf dan zakat. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi membangunkan ekosistem ekonomi Islam yang mampan, tersusun dan berimpak tinggi demi kesejahteraan ummah.

Sebagai agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh penyelarasan, tadbir urus dan pelaksanaan inisiatif bersepadu selaras dengan hala tuju MAIS.

PWS merakamkan penghargaan kepada pihak LZS atas kesudian menerima kunjungan ini dan berharap hubungan strategik ini terus diperkasakan demi memacu pembangunan sosioekonomi ummah secara lestari.

No Comments

Post A Comment