PWS Menjunjung Kasih Hadiri Majlis Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj

PWS Menjunjung Kasih Hadiri Majlis Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj

23 Februari 2026, Klang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri Majlis Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj bersempena memperingati tanggal 5 Ramadan, satu tarikh penuh makna dalam lipatan sejarah Negeri Selangor.

Delegasi PWS diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Haji Mohamed Tahir, Pengerusi PWS, serta diiringi Ahli-Ahli Lembaga Pengarah PWS dan YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif PWS.

Tanggal 5 Ramadan setiap tahun merupakan Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang telah mangkat pada 5 Ramadan 1422H bersamaan 21 November 2001. Ketika kemangkatan, Almarhum merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-11 dan Sultan Selangor ke-8.

Almarhum dikenang sebagai seorang Raja berjiwa rakyat, adil dalam pemerintahan serta memiliki kebijaksanaan dan kewibawaan yang disanjung tinggi. Legasi kepimpinan Almarhum terus menjadi inspirasi dalam memperkukuh institusi Islam termasuk pembangunan wakaf di Negeri Selangor.

Majlis turut diisi dengan bacaan Yasin dan tahlil bagi mendoakan kesejahteraan roh Almarhum. Seusai majlis, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa serta menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah bersama para hadirin di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Kehadiran PWS dalam majlis penuh keberkatan ini mencerminkan komitmen berterusan institusi wakaf negeri dalam menjunjung kasih serta menghargai jasa dan legasi pemerintahan Almarhum Tuanku.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkan baginda dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman.

Menjunjung Kasih Tuanku.

No Comments

Post A Comment