20 Sep PWS KONGSI PERANAN KOMUNITI DALAM MEMPERKASA WAKAF PENDIDIKAN
Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh komitmen dalam membangunkan ekosistem wakaf pendidikan melalui penglibatan komuniti dan pemanfaatan teknologi digital. Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penyertaan PWS dalam Konvensyen Komuniti Madani Digital Selangor 2026 di Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra.
Menerusi sesi perkongsian bertemakan “Wakaf dan Komuniti: Peranan Sistem Maklumat dalam Membangun Ummah”, PWS mengetengahkan kepentingan peranan komuniti sebagai pemangkin kepada pembangunan wakaf pendidikan yang lebih tersusun, meluas dan berimpak.
Konvensyen Komuniti Madani Digital Selangor 2026 menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkasakan komuniti menerusi pendekatan digital serta pengurusan maklumat yang lebih sistematik.
Dalam Slot 4, PWS diwakili oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat, Perbadanan Wakaf Selangor, yang menyampaikan perkongsian bertajuk “Peranan Komuniti dalam Membangunkan Wakaf Pendidikan”.
Sesi tersebut turut menampilkan Prof. Madya Dr. Mokmin Basri yang membentangkan tajuk “Pengurusan Maklumat Wakaf: Amalan Turki Uthmaniah”.
Perkongsian PWS memberi penekanan terhadap kepentingan penglibatan aktif komuniti dalam memperkasa wakaf pendidikan. Komuniti dilihat mempunyai peranan penting dalam meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan serta menyokong usaha pembangunan wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain itu, penggunaan sistem maklumat dan pendekatan digital turut diketengahkan sebagai elemen penting dalam memperkukuh pengurusan serta penyampaian maklumat berkaitan wakaf.
Pendekatan ini berupaya membantu memperluas capaian maklumat wakaf, meningkatkan kefahaman masyarakat dan membentuk ekosistem wakaf yang lebih tersusun serta responsif terhadap keperluan semasa.
Penyertaan PWS dalam konvensyen ini membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan pengukuhan jaringan strategik bersama institusi pendidikan serta komuniti.
Usaha berterusan dalam menggalakkan penglibatan masyarakat dijangka dapat menyokong pembangunan wakaf pendidikan secara lebih inklusif, sekali gus memastikan manfaat wakaf dapat diperluas kepada golongan yang memerlukan.
PWS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak bagi memastikan wakaf terus menjadi instrumen pembangunan sosioekonomi dan pendidikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada ummah.
Wakaf disemai, manfaat dituai.
No Comments