Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menganjurkan Bicara Wakaf Siri 3 bertemakan “Biarpun Nafas Terhenti, Pahala Terus Mengalir” sempena Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAISel26) Zon 3 bagi memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah dan amalan jariah yang berterusan.
Program yang berlangsung di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat ini menampilkan Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor, sebagai panel jemputan. Sesi tersebut dikendalikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS, selaku moderator.
Perkongsian memberi penekanan kepada konsep wakaf, kepentingannya sebagai amalan berkekalan serta peranannya dalam menyokong pembangunan sosioekonomi ummah melalui pengurusan wakaf yang sistematik dan berkesan.
Selain sesi bicara, PWS turut menganjurkan kuiz interaktif berkaitan wakaf dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM1,000 yang ditaja oleh TIJARI. PWS juga membuka reruai pameran yang menampilkan maklumat mengenai pengurusan wakaf di Negeri Selangor, projek pembangunan wakaf serta saluran yang disediakan kepada orang ramai untuk berwakaf.
Penganjuran program ini berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan. Inisiatif ini turut memperkukuh komitmen Perbadanan Wakaf Selangor dalam membudayakan amalan wakaf serta menggalakkan penyertaan masyarakat ke arah kesejahteraan ummah.
No Comments