PWS Hadiri Forum Perdana Ehwal Islam “Kelahiran Insan Riayah” di Shah Alam

PWS Hadiri Forum Perdana Ehwal Islam “Kelahiran Insan Riayah” di Shah Alam

 

Pada 12 Februari 2026, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri siaran langsung Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Kelahiran Insan Riayah” yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri Shah Alam. Program ini merupakan anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Forum tersebut memberi penekanan kepada konsep insan riayah dalam konteks pemeliharaan dan pembangunan anak-anak yatim, iaitu usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja disantuni dari sudut kebajikan fizikal, malah diperkasa melalui pendidikan berkualiti, pembentukan sahsiah, pengukuhan spiritual serta jaminan masa depan yang lebih terarah.

Perbincangan turut menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara anak yatim bukan hanya terletak pada institusi tertentu, sebaliknya merupakan amanah kolektif seluruh masyarakat dalam memastikan mereka mendapat perhatian dan sokongan menyeluruh.

Ahli panel yang berkongsi pandangan ialah Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor serta Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Badli Shah bin Alauddin, Timbalan Mufti Pahang. Kupasan yang disampaikan menekankan bahawa konsep riayah membawa maksud pemeliharaan menyeluruh dalam membina jati diri dan menyediakan ekosistem sokongan agar anak-anak yatim mampu berdiri sebagai insan berdaya saing dan berakhlak tinggi.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor turut mencemar duli menyaksikan forum tersebut sebagai simbol komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memastikan agenda kebajikan dan pembangunan ummah sentiasa diberi keutamaan.

Semoga wacana ini menjadi pemangkin kepada gerakan bersepadu dalam memastikan tiada anak yatim yang tercicir daripada arus pembangunan serta terus berada dalam lindungan kasih sayang dan perhatian masyarakat.

No Comments

Post A Comment