Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi tempoh 2001 hingga 2026. Majlis ini mencerminkan keprihatinan institusi Diraja Selangor terhadap kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas dan anak-anak yatim.
Majlis Jamuan Teh Diraja ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada sambutan bersejarah Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor. Penganjuran ini turut menjadi wadah memperkukuh nilai kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan perhatian serta santunan.
Majlis yang berlangsung di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang ini meraikan lebih 60 orang kanak-kanak spastik serta 1,500 orang anak yatim dari pelbagai sekolah di seluruh Negeri Selangor.
PWS berbesar hati dapat bersama-sama menghadiri majlis istimewa yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan kegembiraan ini.
Penganjuran majlis ini memperlihatkan keprihatinan institusi Diraja Selangor dalam menyantuni golongan kanak-kanak berkeperluan khas dan anak-anak yatim. Inisiatif seumpama ini turut menyemarakkan nilai kemanusiaan, memperkukuh semangat kebersamaan serta memupuk budaya prihatin dalam masyarakat.
PWS merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor. Semoga Allah SWT melanjutkan usia dan memberkati pemerintahan Baginda serta mengurniakan kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan kepada Negeri Selangor Darul Ehsan.
No Comments