PWS Sertai Karnival Agensi Islam Selangor 2026, Perkasa Kefahaman Wakaf dan Dekati Masyarakat

PWS Sertai Karnival Agensi Islam Selangor 2026, Perkasa Kefahaman Wakaf dan Dekati Masyarakat

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyertai Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel 2026) yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun 2026 di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang. Penyertaan ini menjadi platform strategik bagi memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai wakaf melalui pameran, sesi perkongsian ilmu serta penyediaan perkhidmatan wakaf yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Karnival Agensi Islam Selangor 2026 merupakan program yang menghimpunkan pelbagai agensi Islam Negeri Selangor dalam usaha memperkukuh sinergi serta mendekati masyarakat menerusi pengisian keagamaan, pameran, aktiviti komuniti, jualan dan perkongsian maklumat berkaitan perkhidmatan serta inisiatif Islam di negeri ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.B. Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), TERAS, Universiti Islam Selangor (UIS) serta pelbagai agensi Islam lain.

Sepanjang karnival berlangsung, PWS telah mengadakan pameran informasi yang mengetengahkan peranan dan kepentingan wakaf dalam pembangunan masyarakat. Pengunjung turut diberikan penerangan mengenai projek-projek wakaf, inisiatif semasa serta impak wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan.

Sebagai nilai tambah kepada pengunjung, PWS menganjurkan sesi podcast bertajuk “Dari Hati Ke Syurga: Membina Legasi Melalui Wakaf” yang menampilkan perkongsian oleh Ustaz Harryanto Rizal Rokman dengan moderator Encik Muhammad Hafiz Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS. Sesi tersebut memberi penekanan kepada konsep wakaf sebagai amalan kebajikan berterusan yang mampu membina legasi berkekalan untuk manfaat masyarakat.

PWS turut menyediakan perkhidmatan melalui Bas Klinik Pergigian Bergerak, iaitu aset wakaf hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Muamalat Malaysia Berhad menerusi Wakaf Selangor Muamalat. Inisiatif ini membolehkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan pergigian pada kadar yang berpatutan sepanjang karnival berlangsung.

Karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pengisian ilmu serta persembahan nasyid daripada kumpulan Hijjaz yang menyampaikan mesej dakwah kepada para pengunjung.

Turut hadir memeriahkan program ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin bin Haji Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor; Encik Mohd Huzairi Hamdan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS; serta Encik Mohd Hafiz Ismail, Pengurus Bahagian Kewangan PWS.

Majlis penutup Karnival Agensi Islam Selangor 2026 bagi Zon 1 telah disempurnakan oleh YAD Dato’ Setia Salehuddin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Penyertaan PWS dalam Karnival Agensi Islam Selangor 2026 membuktikan komitmen berterusan organisasi dalam memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf serta memperkukuh budaya berwakaf sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi ummah.

Melalui pendekatan pendidikan, perkongsian ilmu dan penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat, PWS terus memperkukuh peranannya dalam menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan yang mampan serta memberi manfaat berpanjangan kepada generasi masa hadapan.

No Comments

Post A Comment