PWS Perkukuh Kesedaran Wakaf Korporat Menerusi Bicara Wakaf Bersama PHN Industry

PWS Perkukuh Kesedaran Wakaf Korporat Menerusi Bicara Wakaf Bersama PHN Industry

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneruskan usaha memperluas kefahaman serta membudayakan amalan wakaf dalam kalangan warga korporat menerusi program Bicara Wakaf bersama PHN Industry Sdn. Bhd. (Rasa). Program ini memberi pendedahan mengenai konsep, kelebihan dan potensi wakaf sebagai amalan jariah berterusan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

Program Bicara Wakaf merupakan antara inisiatif PWS dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya sektor korporat, terhadap kepentingan wakaf serta peranannya dalam pembangunan ummah.

Sesi perkongsian bertemakan “Biarpun Nafas Terhenti, Jariah Terus Mengalir” disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat, Perbadanan Wakaf Selangor.

Sesi ini mengupas konsep dan kelebihan berwakaf serta kepentingan menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan. Peserta turut diperkenalkan kepada pelbagai inisiatif dan projek wakaf yang dilaksanakan oleh PWS bagi memastikan manfaat wakaf dapat dikembangkan secara berterusan.

Program ini turut membuka ruang kepada warga PHN Industry untuk memahami potensi penglibatan korporat dalam ekosistem wakaf serta sumbangannya terhadap kesejahteraan masyarakat.

Pelaksanaan program ini dijangka dapat meningkatkan kefahaman warga korporat terhadap wakaf serta menggalakkan penglibatan yang lebih aktif dalam amalan wakaf. Inisiatif sebegini turut menyokong usaha PWS memperluas budaya wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah yang berterusan.

 

No Comments

Post A Comment