Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan Sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM26,000 bagi projek baik pulih kelas KAFA Integrasi Darul Ulum, Ulu Teris, Sepang sebagai usaha memperkukuh pembangunan institusi pendidikan Islam dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
Program yang berlangsung pada 13 Julai 2026 ini merupakan sebahagian daripada komitmen PWS dalam memperkasakan sektor pendidikan Islam melalui agihan manfaat wakaf yang memberi impak langsung kepada institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Sumbangan disalurkan bagi membantu kerja-kerja baik pulih kelas demi meningkatkan keselesaan dan keselamatan proses pengajaran dan pembelajaran. Turut diadakan sesi taklimat wakaf yang disampaikan oleh Ustaz Ibnu Hubain bin Abdul Aziz, Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Korporat PWS, yang memberi penerangan mengenai konsep wakaf kontemporari, peranan wakaf dalam pembangunan ummah serta manfaatnya kepada institusi pendidikan. Para guru turut diberi peluang menyertai pelbagai inisiatif wakaf yang disediakan oleh PWS.
Sumbangan ini diharap dapat meningkatkan kemudahan pembelajaran di KAFA Integrasi Darul Ulum serta memperkukuh kesedaran warga pendidik mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat yang mampan.
No Comments