10 Nov PWS Sertai Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026, DYTM Raja Muda Selangor Berkenan Melawat Reruai PWS
Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyertai Konvensyen Baitulmal Nusantara (KBN) 2026 anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam. Penyertaan ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama serantau, berkongsi kepakaran dalam pengurusan wakaf serta memperluas kesedaran masyarakat mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah.
Konvensyen ini turut menyaksikan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, yang berkenan melawat reruai PWS.
Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 merupakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang menghimpunkan pelbagai institusi serta pakar dalam bidang pengurusan harta Islam dari rantau Nusantara.
Penganjuran konvensyen ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan amalan terbaik berkaitan pengurusan harta Islam, termasuk aspek wakaf, zakat, pusaka, wasiat dan hibah melalui pendekatan syariah, perundangan, tadbir urus, kewangan serta ekonomi.
Sepanjang konvensyen berlangsung, DYTM Raja Muda Selangor telah berkenan melawat reruai PWS dan diberikan penerangan mengenai Kempen Year End Wakaf 2026.
Kempen tersebut merupakan inisiatif PWS untuk menggalakkan masyarakat membudayakan amalan berwakaf secara konsisten melalui sumbangan bulanan menggunakan kemudahan potongan automatik.
Penyertaan PWS turut mendapat pengiktirafan apabila Ketua Pegawai Eksekutif PWS, YBrs. Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, menerima sijil penghargaan atas penglibatan beliau sebagai pembentang dalam konvensyen berkenaan.
Konvensyen selama tiga hari ini menghimpunkan seramai 400 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Sebanyak 23 pembentangan telah diketengahkan dengan memberi tumpuan kepada pelbagai bidang pengurusan harta Islam.
Penyertaan PWS dalam Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh ekosistem pengurusan wakaf melalui perkongsian ilmu, pertukaran kepakaran dan jaringan kerjasama di peringkat serantau.
Selain itu, platform ini turut membuka ruang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAIS atas penganjuran konvensyen ini yang menjadi wadah penting dalam memperkasa pengurusan harta Islam di rantau Nusantara.
No Comments