Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneruskan usaha memperluas kefahaman serta membudayakan amalan wakaf dalam kalangan warga korporat menerusi Program Sinar Zohor bersama warga Pos Malaysia Berhad. Program tersebut turut menampilkan sesi Bicara Wakaf bertajuk “Biarpun Nafas Terhenti, Pahala Terus Mengalir” yang menekankan manfaat wakaf sebagai amalan yang mampu memberi impak berpanjangan kepada ummah.
Program Sinar Zohor dilaksanakan sebagai salah satu medium untuk mendekati komuniti korporat dan memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan wakaf dalam kehidupan masyarakat.
Dalam program berkenaan, PWS diwakili oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat, Perbadanan Wakaf Selangor, yang menyampaikan perkongsian berkaitan kelebihan berwakaf serta potensi harta wakaf dalam memberikan manfaat secara berterusan.
Sesi Bicara Wakaf bertajuk “Biarpun Nafas Terhenti, Pahala Terus Mengalir” memberi pendedahan kepada warga Pos Malaysia mengenai konsep dan kelebihan wakaf, khususnya dari aspek manfaat yang dapat dinikmati oleh masyarakat dalam jangka panjang.
Perkongsian turut mengetengahkan wakaf sebagai salah satu bentuk amalan yang mampu menjadi bekalan pahala berterusan serta menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan ummah.
Program ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran warga korporat terhadap kepentingan wakaf serta menggalakkan penglibatan mereka dalam membudayakan amalan tersebut.
PWS turut merakamkan penghargaan kepada Pos Malaysia Berhad dan Ahli Jawatankuasa Surau Utama Pos Malaysia atas kerjasama serta ruang yang diberikan dalam usaha menyebarluaskan kesedaran mengenai ibadah wakaf.
Inisiatif sebegini diharapkan dapat terus memperkukuh budaya berwakaf dalam kalangan warga korporat dan masyarakat secara keseluruhannya.
No Comments