PWS Salur Wakaf Fisabilillah RM50,000 kepada Surau Nur Ikhwan, Rawang

PWS Salur Wakaf Fisabilillah RM50,000 kepada Surau Nur Ikhwan, Rawang

7 Mac 2026, Rawang – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menyalurkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Surau Nur Ikhwan, Rawang bagi tujuan pemasangan karpet baharu surau demi meningkatkan keselesaan para jemaah dalam melaksanakan ibadah.

Serahan cek cura wakaf telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Suffian Assauri bin Omar, Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS kepada wakil pengurusan surau dalam satu majlis ringkas yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan bersempena Bulan Wakaf Selangor.

Sumbangan ini bertujuan menambah baik kemudahan institusi ibadah agar para jemaah dapat menunaikan solat dan menghadiri program pengimarahan surau dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.

Dalam program yang sama, Tazkirah Ramadan turut disampaikan kepada para jemaah bagi menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan wakaf sebagai amalan sedekah jariah yang berterusan.

Turut dibuka kaunter wakaf PWS bagi memberi peluang kepada para jemaah untuk mendapatkan maklumat lanjut serta melaksanakan wakaf secara terus sebagai sokongan terhadap pembangunan institusi agama dan kebajikan ummah.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memperkasa ekosistem wakaf negeri secara inklusif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan.

Ayuh bersama merebut keberkatan Ramadan dengan berwakaf, kerana setiap sumbangan adalah saham akhirat yang manfaatnya terus mengalir demi kesejahteraan ummah.

No Comments

Post A Comment