Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkasa manfaat wakaf melalui penyerahan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak, Kajang.
Sumbangan tersebut disalurkan bagi tujuan pembinaan dan penambahbaikan laluan susur gajah, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kemudahan serta keselesaan warga sekolah.
Inisiatif Wakaf Fisabilillah merupakan antara usaha PWS dalam menyalurkan manfaat wakaf kepada sektor pendidikan dan pembangunan kemudahan masyarakat.
Melalui sumbangan ini, PWS berharap manfaat wakaf dapat terus diterjemahkan dalam bentuk kemudahan yang memberi nilai tambah kepada institusi pendidikan serta warga sekolah.
Majlis penyerahan cek cura berjumlah RM50,000 kepada SRA Sungai Balak telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hafizuddin bin Mohamed Sharil.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah sesi taklimat wakaf kepada para guru bagi meningkatkan kefahaman mengenai konsep, kepentingan serta manfaat wakaf dalam pembangunan ummah.
Selain itu, kaunter wakaf turut dibuka bagi memberikan peluang kepada para guru untuk melazimi ibadah wakaf serta menyumbang secara berterusan mengikut kemampuan masing-masing.
Sumbangan Wakaf Fisabilillah ini diharapkan dapat membantu merealisasikan pembinaan dan penambahbaikan laluan susur gajah di SRA Sungai Balak, sekali gus memberikan manfaat kepada warga sekolah.
Inisiatif ini turut mencerminkan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial yang mampu menyokong keperluan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat secara berterusan.
PWS juga menggalakkan masyarakat untuk terus melaksanakan wakaf tunai melalui saluran rasmi yang disediakan sebagai usaha bersama memperluas manfaat wakaf kepada golongan yang memerlukan.
“Biarpun nafas terhenti, pahala terus mengalir.”
Orang ramai dialu-alukan untuk melaksanakan wakaf tunai melalui saluran rasmi Wakaf Selangor Online dan Aplikasi Wakaf Selangor.
No Comments