PWS Salur RM20,000 Wakaf Fisabilillah Perkasa Pendigitalan SK Seri Pristana

PWS Salur RM20,000 Wakaf Fisabilillah Perkasa Pendigitalan SK Seri Pristana

28 Februari 2026, Kuala Selangor – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh komitmen strategik dalam memperkasa sektor pendidikan melalui penyaluran Sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh bagi tujuan pembelian dua unit Smart Board untuk kegunaan murid dan warga sekolah.

Cek cura telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS dalam satu majlis rasmi yang berlangsung bersempena Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Dalam majlis tersebut, beliau turut diberi penghormatan merasmikan Mesyuarat PIBG sebagai simbolik sokongan PWS terhadap kolaborasi strategik antara institusi wakaf dan komuniti pendidikan.

Sebagai nilai tambah kepada program, sesi kempen kesedaran wakaf turut dilaksanakan khusus kepada para ibu bapa yang hadir. PWS menyeru agar komuniti sekolah bersama-sama membudayakan amalan berwakaf secara konsisten demi memastikan kelestarian pembangunan pendidikan ummah.

Para ibu bapa turut diperkenalkan dengan Aplikasi Wakaf Selangor sebagai platform digital yang memudahkan urusan wakaf secara pantas, telus dan sistematik, selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan wakaf negeri.

Inisiatif ini mencerminkan pendekatan holistik PWS dalam memperluas jaringan wakaf pendidikan serta membina ekosistem wakaf yang mampan dan berimpak tinggi untuk generasi masa hadapan.

Marilah bersama memperkasa pendidikan melalui wakaf sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan ummah.

 

 

 

 

 

 

No Comments

Post A Comment