27 Februari 2026, Shah Alam – Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah menerima sumbangan Wakaf Tunai Korporat daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam satu sesi penyerahan rasmi yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah pada hari Jumaat yang barakah, bersempena bulan Ramadan yang mulia.
Sumbangan tersebut telah diterima oleh Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Bahagian Korporat PWS.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah yang mampan dan berimpak tinggi. KSSB merupakan antara rakan strategik korporat yang konsisten melaksanakan Wakaf Tunai Korporat bersama PWS, sekali gus memperlihatkan kesungguhan syarikat dalam mengintegrasikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan nilai Islam dalam tadbir urus organisasi.
PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan iltizam berterusan pihak KSSB dalam menyokong agenda pemerkasaan wakaf di Negeri Selangor. Semoga kolaborasi strategik ini terus diperkukuh dan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih meluas sektor korporat dalam pembangunan wakaf secara holistik.
Marilah bersama memperkasa Wakaf Tunai Korporat demi manfaat ummah yang berpanjangan.
No Comments